Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

KOMUNITI GABUNGAN ANAK - ANAK GAYONG

Komuniti Gabungan Anak-Anak Gayong SeMalaysia

MARI DENGAR LAGU


MusicPlaylist

BAKA IPD KUALA MUDA

Jumaat, 28 Mei 2010

ANTARA DUNIA & AKHIRAT

Dalam kitab ada menyebut bahawa Hadis Rasulullah SAW
ada memberitahu:

Maksudnya: “Bukanlah kebaikan itu orang yang meninggalkan
dunianya kerana Akhiratnya dan tidak juga
orang yang meninggalkan Akhiratnya kerana dunianya sehinggalah
memperoleh kedua-duanya sekali.” (Riwayat Ibnu
Asakir)

Oleh kerana ada Hadis menyebut seperti di atas, maka lumrahlah
orang bercakap termasuk orang yang cinta dunia dan
bergelumang dengan dunia. Bahkan semua golongan bercakap
tentang ini. Maklumlah dunia itu mudah manusia cenderung
kepadanya apatah lagi apabila ada hujah dan dalilnya pula, lagilah
ada alasan mereka memburunya tanpa memikirkan panduan
dan guidelinenya. Mereka buru dunia semahu-mahunya, tidak
kira cara mana dan bagaimana.

Di antara cakap-cakap yang selalu kita dengar dan baca sama
ada di pentas-pentas dakwah, di majlis-majlis ceramah, di pentas-
pentas politik, di dalam majlis-majlis pengajian, di dalam
bualan harian, melalui TV, surat khabar, majalah dan lain-lain
lagi seperti berikut:

“Dunia pun kita hendak, Akhirat pun kita hendak.”

“Janganlah tinggalkan dunia kerana Akhirat. Begitulah juga
jangan tinggalkan Akhirat kerana dunia. Tuhan suruh kita
mengambil kedua-duanya sekali iaitu dunia dan Akhirat.”

“Akhirat memanglah kita tidak boleh nafikan tapi kita kan
tinggal di dunia sekarang, hendak fikir juga tentang dunia.”

“Akhirat, Akhirat juga. Dunia, dunia juga. Jangan lupa keduaduanya.”

“Kalau kita tidak ada harta dunia, Akhirat kita pun tidak
sempurna. Habis bagaimana hendak berzakat, kalau kita tidak
ada harta?”

“Kalau kita tidak ada harta, bagaimana hendak naik haji.”

“Bagaimana hendak membuat kebaikan kalau tidak ada
duit.”

“Ambillah dunia, tapi jangan sampai lupa Akhirat.”

“Dia itu asyik ibadah sahaja, apa anak isteri hendak makan?”

“Ibadah, ibadahlah. Bekerja kena juga untuk mencari rezeki.”

“Siapa hendak memberi makan anak isteri?”

“Dia itu sama naik. Dunia pun dia buru, Akhirat juga dia
buru.”

Ada yang bercakap lebih hebat lagi dan memeranjatkan kita,

“Dia itu walaupun penari atau pelacur tapi dia sembahyang.”

Inilah di antara kata-kata yang kita dengar daripada yang
diucapkan oleh orang kampung hinggalah orang bandar, pendakwah,
tok-tok guru, alim ulama, penceramah, ahli-ahli politik,
ahli-ahli ekonomi, pembesar-pembesar dan lain-lain lagi.
Apabila kita mengambil kedua-duanya sekali barulah seimbang
kata mereka.

Bagi orang yang gila dunia, cakap-cakap macam tadi sudah
cukup memberangsangkan dan sudah memadailah untuk
dijadikan hujah dan dalil untuk memburu dunia tanpa lagi memikirkan
bagaimana caranya, bagaimana syarat-syaratnya, cara
mengambil kedua-duanya sekali itu bagaimana. Pada mereka
cakap-cakap itu sudah memuaskan hati. Tidak ada yang mengelirukan
lagi. Maka mereka burulah dunia dengan tidak fikir halal
dan haram. Tidak memikirkan cara mana dan bagaimana yang
dibenarkan. Yang penting buatlah apa cara asalkan mendapat
keuntungan.

“Tuhan kan menyuruh kita mencari kekayaan? Asalkan
jangan tinggalkan sembahyang! Bulan puasa, kita puasalah. Sampai
masa nanti kita naik haji sudahlah.”

Bagi orang yang hendak mencari kebenaran yang mahukan
kedua-duanya, juga masih terkeliru. Ucapan-ucapan itu masih
bersifat umum. Mereka masih bingung kerana huraiannya tidak
ada. Takkan begitu sahaja. Mesti ada cara-caranya. Mesti ada
syarat-syaratnya. Mesti ada panduannya. Akhirat itu Akhirat
yang macam mana? Dunia pun dunia yang macam mana.

Itulah pendirian orang yang ikhlas dan ingin cari kebenaran.
Mereka tidak menolak pandangan yang berpendapat bahawa
dunia Akhirat itu kenalah diambil kedua-dua sekali. Tapi cakap
macam itu pada mereka masih belum boleh lagi untuk dijadikan
tindakan. Takut nanti terjatuh ke dalam kesalahan. Mereka mahu
penjelasan. Mereka mahukan panduan. Mereka memerlukan
huraian. Mengambil keduanya secara melulu, itu bukan ajaran
Islam.

Islam mesti ada peraturan mengenai kedua-duanya. Islam
adalah ajaran yang indah, selamat menyelamatkan. Mengambil
kedua-duanya mesti ada caranya. Bila melaksanakannya, menyenangkan.
Tidak ada was-was lagi.
Kalau kita ingin menganalisa dan membaca kehendakkehendak
mereka yang tersirat daripada cakap-cakap mereka,
seolah-olah pada mereka mengambil dunia atau Akhirat itu, iaitu
mengambil kedua-duanya sekali ialah:

“Kita carilah dunia sebanyak mana pun, tak usah fikir halal
dan haram. Tak usah fikir bagaimana caranya. Buatlah apa sahaja
dan buatlah cara mana pun asalkan mendapat keuntungan. Tapi
jangan tinggal sembahyang, puasa, zakat, naik haji bila mampu.
Itulah yang dimaksudkan dengan kehendak Hadis itu. Iaitu
dunia kena buat, Akhirat pun kena buat. Kita carilah dunia tapi
agama jangan ditinggalkan. Carilah kekayaan, buatlah kemajuan.
Buatlah pembangunan tapi jangan tinggal sembahyang dan
lain-lain seperti yang telah disebutkan tadi.”

Kalau kita terima begitu saja pandangan mereka itu, ia adalah
amat merbahaya. Ia keliru dan mengelirukan. Kita akan terjatuh
nanti ke lembah kesesatan.
Kita memang disuruh mengimbangkan di antara dunia dan
Akhirat. Bahkan kita wajib menerima bahawa dunia dan Akhirat
itu mesti seimbang. Kalau tidak seimbang di antara dunia dan
Akhirat atau agama dan dunia, kita akan terjebak kepada kesalahan
dan kesilapan yang besar. Di waktu itu agama akan rosak,
dunia juga akan rosak. Oleh itu keseimbangan di antara keduaduanya
amat perlu sekali.
Badan manusia contohnya, kalau makan minum tidak seimbang,
iaitu jenis-jenis apa yang dimakan untuk keperluan dan
kesihatan tubuh, nescaya badan tidak akan sihat. Ia akan menimbulkan
masalah kepada badan. Badan akan berpenyakit. Mungkin
macam-macam penyakit yang akan menyerangnya. Begitulah
juga mesti ada keseimbangan di antara dunia dengan Akhirat
atau di antara agama dengan dunia. Kalau tidak, pasti akan
berlaku kerosakan.

Oleh itu keseimbangan di antara dunia dan Akhirat perlu
diperjuangkan agar dunia selamat, Akhirat pun selamat. Memang
agama Islam itu kalau dapat difaham dan mampu mengamalkannya,
ia akan membawa keselamatan dunia dan Akhirat.
Di sinilah keistimewaan ajaran Islam yang tiada pada agama
lain.

Apabila kita telah boleh menerima bahawa dunia Akhirat
mesti seimbang atau agama dan dunia itu mesti seimbang, bagai
mana hendak mengimbangkannya? Apa maksud seimbang di
antara dunia dan Akhirat? Apakah maksud seimbang di sini?
Kalau menurut ukuran benda, kalau satu sama-sama satu. Kalau
dua, sama-sama dua. Atau kalau ia jenis yang hendak diukur
untuk dibagi seimbang, kalau satu kaki hendaklah kita bahagi
sama-sama enam inci. Atau kalau dua orang yang berkongsi
berniaga mengeluarkan modal yang sama banyaknya, kemudian
apabila mendapat untung dua ratus ringgit maka kenalah setiap
orang mendapat seratus ringgit. Atau kalau barang yang hendak
ditimbang yang berat satu kati maka batu mengimbangnya mesti
satu kati juga beratnya. Barulah ia seimbang.

Ya! Kalau berlaku kepada alam benda sama alam benda, yang
sama jenis seperti yang disebutkan di atas maka kita boleh terima
dan mesti terima. Ukuran panjang kalau hendak dibahagi, mestilah
sama-sama panjang. Jangan ada yang lebih, ada yang kurang.
Ia jadi tidak seimbang. Kalau jenis timbang mestilah sama
beratnya, begitulah seterusnya.

Tapi, apakah seimbang di antara dunia dengan Akhirat itu
sama seperti ukuran benda-benda tadi? Kalau kita kata ‘ya’, tanggapan
itu adalah salah kerana dua perkara yang hendak diseimbangkan
ini tidak sama sifatnya. Dunia adalah alam syahadah
atau alam benda atau alam fizik. Sedangkan Akhirat pula adalah
alam ghaib yang masanya tidak berkesudahan atau tidak terbatas.
Alam syahadah iaitu dunia ini masanya terhad atau terbatas
atau ada kesudahan. Agama bersifat maknawiah dan
rohaniah sedangkan dunia bersifat maddiah iaitu fizikal dan
material.

Maknawiah dan rohaniah dapat ditangkap dan dirasa oleh
akal dan jiwa atau roh, sedangkan dunia yang bersifat maddiah
itu dirasa oleh mata dan sentuhan lahir. Ia bersifat hissiah.
Kalau begitu kedudukannya, kedua-duanya tidak sama. Dua
perkara yang tidak sama ini hendak diseimbangkan, mana boleh
diukur mengikut hukum logik atau mengikut teori ilmu akal
atau ilmu mantik. Kalau kita lakukan juga, ia adalah sangat tidak
tepat. Ia satu kesalahan besar. Satu kesilapan yang akan membawa kerosakan yang besar sekali. Ia akan merosakkan peranan
agama itu sendiri.

Oleh itu hendak mengimbangkan di antara dunia dengan
Akhirat atau di antara agama dengan dunia, kenalah berhatihati.
Dunia ada campur tangan manusia, tapi agama, manusia
tidak boleh campur tangan langsung. Ia adalah hak mutlak Allah
Taala. Oleh itu sekali lagi saya katakan berhati-hatilah.
Jadi, apa maksud seimbang di sini? Dan bagaimana hendak
mengimbangkan di antara dua perkara yang berlainan sifatnya
itu? Adakah ia terasing di antara satu sama lain? Atau satu sama
lain itu terserap?

Kalau kedua-duanya bersifat material atau fizikal tentu boleh
nampak. Tapi satu bersifat material, nampak dan boleh dirasa
dan satu lagi bersifat maknawiah dan rohaniah, tidak nampak
oleh mata dan tidak dapat dirasa oleh sentuhan kerana ia bukan
bersifat hissiah. Kalau nampak atau dapat dilihat adalah mudah
dan senang untuk menyukat setakat mana yang dikatakan
seimbang itu.

Erti seimbang di antara dunia dan Akhirat atau di antara agama dengan dunia itu ialah Setiap usaha atau perjuangan yang hendak dibangunkan
yang bersifat material atau fizikal seperti aspek pembangunan,
ekonomi, kebudayaan, ketenteraan, pertanian, perhubungan dan
lain-lain lagi, hendaklah Islam sebagai pendisiplinnya atau ia
tidak boleh lari daripada diikat dengan tauhid dan syariat Islam
atau Islam menjadi penyelarasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan