Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

KOMUNITI GABUNGAN ANAK - ANAK GAYONG

Komuniti Gabungan Anak-Anak Gayong SeMalaysia

MARI DENGAR LAGU


MusicPlaylist

BAKA IPD KUALA MUDA

Sabtu, 24 Oktober 2009

HAJI & UMRAH



PENGERTIAN HAJI

Haji merupakan perlakuan ibadah umat islam yang mempunyai banyak simbolik yang dikemukakan kepada manusia dalam bentuk penonjolan diri, demostrasi atau perisytiharan, bukan menuntut sesuatu yang bersifat kebendaaan atau keduniaan, tetapi demontrasi untuk menyatakan tauhid dengan slogan dan laungan kalimah suci, Allahhu Akhbar, Allah Maha Besar, berulang-ulang kali dengan keyakinan dan ketaqwaan, pengakuan yang jelas dan tegas sekalipun kufur atau musyrikin tidak menyenanginya. Pengisytiharan tauhid yang jelas dan laungan yang tegas dilakukan serentak menyebut nama Allah, "Labayk Allah Humma Labbyk, Labbaykka La Syarikalak Labbayk, Innal Hamda Wa al- Ni'mata Laka wa al-Mulk, La Syarikalak", dilaungkan bukan kerana sesuatu kekurangan, tetapi penyataan sesuatu ibadah dalam bentuk demontrasi menentang syirik, kezaliman dan kesesatan yang dilakukan oleh manusia yang tidak mentauhidkan Allah.

Pengertian UMrah

Umrah (ﻋﻤﺮﻩ) ialah mengunjungi Baitullah di Makkah dan melakukan ihram, tawaf, sa'i dan bertahallul mengikut tertib.Umrah adalah fardhu seperti Haji. Ini adalah pendapat al-Imam as-Syafie r.a. yang al-Azhar. Ijmak Ulama mengatakan bahawa hanya wajib dilakukan sekali sepanjang hayat bagi orang yang mampu kecuali orang yang bernazar, maka dia wajib memenuhi nazarnya.Dalil daripada al-Quran ialah firman Allah Taala: Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah (Al-Baqarah 196).
Sabda Nabi yang diriwayatkan Ibnu Majah, Al-Baihaqi dan sanad yang sahih daripada Aisyah r.a. katanya:
Aku berkata : "Wahai Rasullah,apakah wanita wajib berjihad?".
Sabda Baginda: "Ya, jihad yang tiada peperangan padanya iaitu haji dan umrah".
Niat Ihram, Tawaf dan Sa'i tidak boleh dilakukan di mana-mana tempat lain melainkan di tempat yang ditetapkan. Iaitu niat ihram di Miqat, tawaf 7 pusingan mengelilingi Kaabah di dalam Masjidil Haram dan bersa'i 7 kali bermula di bukit Safa dan berakhir di bukit Marwah. Terakhir sekali bertahallul iaitu bercukur atau mengunting rambut sekurang-kurangnya 3 helai selepas itu, segala larangan dalam Ihram menjadi halal sepertimana sebelum beliau berihram.Beza Umrah dengan Haji ialah Umrah boleh dilaksanakan sepanjang tahun tetapi Haji hanya boleh dilakukan pada bulan haji iaitu bulan Zulhijjah sahaja, dan hari kemuncaknya ialah pada hari Tasyrik 9,10,11,12 dimana jemaah berkumpul di Padang Arafah dan Mina.
Pada zaman sekarang Kerajaan Arab Saudi menetapkan mana jemaah umrah mestilah mengikut muassasah umrah dan memohon visa umrah melalui agensi umrah. Tiada lagi permohonan Visa umrah dapat dilakukan di Kedutaan Arab Saudi secara individu.

RASULLULLAH S.A.W MENUNAIKAN HAJI
Nabi kita Muhammad S.A.W telah menunaikan fardhu haji sekali sahaja semasa hayatnya. Haji itu dinamakan "Hijjatul Wada'/ Hijjatul Balagh/ Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji itu tidak berapa lama kemudian baginda pun wafat. Baginda telah berangkat ke Madinatul Munawwarah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat-sahabatnya seramai lebih 90,000 orang Islam.
Baginda telah menyempurnakan amalan-amalan sunat Ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali, 10 km daripada Madinah dan baginda sampai di Makkah pada 04 Zulhijjah setelah mengambil masa 9 hari dalam perjalanan. Baginda berangkat ke Mina pada 08 Zulhijjah dan bermalam di situ.
Kemudian ke Arafah untuk berwukuf pada 09 Zulhijjah yang jatuhnya pada hari Jumaat. Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Dan pada 14 Zulhijjah, Rasulullah S.A.W telah berangkat meninggalkan Makkah Al-Mukarramah menuju balik ke Madinah Al-Munawwarah.

PERISTIWA SEMASA HIJJATUL WADA'
Di masa wukuf terdapat beberapa peristiwa penting yang boleh dijadikan pegangan dan panduan umat Islam telah berlaku, di antara ialah seperti berikut :

1. Rasulullah S.A.W minum susu di atas unta supaya dilihat oleh orang ramai bahawa
hari itu tiada puasa atau tidak sunat berpuasa pada hari wukuf.

2. Seorang Sahabat jatuh dari binatang tunganggannya lalu mati, Rasulullah S.A.W.
menyuruh supaya mayat itu dikafankan dengan 2 kain ihram dan tidak membenarkan
kepalanya ditutup atau diwangikan jasad dan kafannya. Sabda Baginda pada ketika
itu bahawa " Sahabat itu akan dibangkitkan pada hari kiamat di dalam keadaan
berihram dan bertalbiah".

3. Rasulullah S.A.W. menjawab soalan seorang ahli Najdi yang bertanyakan " Apakah
itu Haji ?". Sabdanya yang bermaksud " Haji itu berhenti di Arafah". Siapa tiba
di Arafah sebelum naik fajar 10 Zulhijjah maka ia telah melaksanakan haji.

4. Turunnya ayat suci Al-Quranul Karim surah Al-Maidah yang bermaksud :
" Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan
nikmatku ke atas kamu dan aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kami"

Daripada sejarah dan peristiwa ringkas itu cubalah kita teliti betapa Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan haji dengan pengorbanan Baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding pada hari ini kita menaiki kapal terbang yang boleh sampai ke Tanah Suci kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.


Syarat-syarat wajib haji dan umrah itu adalah sama sahaja iaitu "

• Islam
- tidak wajib atas orang kafir dan murtad

• Baligh
- tidak wajib atas kanak-kanak tetapi sah hajinya dan tidak gugur wajibnya bila
baligh

• Berakal
- tidak wajib atas orang gila dan jika dilakukan juga, tidak sah hajinya

• Merdeka
- Hamba abdi tidak diwajibkan, tetapi sah hajinya dan diberi pahala

• Berkuasa / Kemampuan
- Berhubung dengan berkuasa atau berkemampuan, ini ialah berdasarkan kepada Firman
Allah S.W.T yang bermaksud:
" Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu
bagi yang sanggup berjalan di antara mereka" (Surah Ali Imran ayat 97)

RUKUN HAJI DAN UMRAH

RUKUN HAJI (6 PERKARA)

1. Niat ihram mengerjakan haji

2. Wukuf di Arafah


3. Tawaf di Kaabah

4. Sa'ie di antara Bukit Safa dan Marwah

5. Bergunting atau bercukur rambut

6. Tertib pada kebanyakan rukunnya

RUKUN UMRAH (5 PERKARA)

1. Niat ihram mengerjakan umrah

2. Tawaf

3. Sai'e

4. Bergunting atau bercukur

5. Tertib

1. Niat Ihram Mengerjakan Haji
• NIAT BERIHRAM
Sebelum seseorang itu berniat ihram sama ada untuk mengerjakan haji atau umrah di
Miqat Makani, maka hendaklah terlebih dahulu seseorang itu memaikai ihram. Sesiapa
yang telah berihram dan berniat demikian maka haramlah baginya melakukan beberapa
perkara yang diharuskan sebelumnya.

• MAKNA IHRAM
Ihram itu asal maknanya ialah mengharamkan atau melarang dan ihram dalam ibadat
haji atau umrah ini ertinya ialah suatu keadaan yang ada pada orang yang sedang
mengerjakan haji atau umrah bermula pada ketika berniat mengerjakannya dan
berakhir pada ketika TAHALLUL. Jadi sebab dinamakan atau dinamakan IHRAM ialah
diharamkan beberapa perkara ketika dalam ihram itu.

• PAKAIAN IHRAM
Pakaian ihram bagi lelaki ialah dua helai kain lepas, iaitu tidak dijahit dan
tidak pula dijalin (tidak dicantum). Sehelai dipakai sebelah bawah untuk menutup
aurat, iaitu antara pusat dan lutut dan sehelai lagi dibuat selendang. Kain ini
disunatkan berwarna putih. Pakaian ihram untuk perempuan pula hendaklah menutup
semua badannya kecuali muka dan tapak tangan yang hendaklah terbuka seperti dalam
sembahyang.

• SUNAT - SUNAT IHRAM

Sunat-sunat ihram antara laian ialah :-

1. Mandi sunat ihram,
2. Mengerat kuku
3. Mencukur atau menanggalkan bulu ketiak, ari-ari, mengandam misai dan rambut,
4. Memakai minyak rambut dan bau-bauan
5. Memakai pakaian berwarna putih,
6. Sembahyang sunat ihram dan
7. Membanyakkan bacaan talbiah selepas berniat haji atau umrah

• MANDI SUNAT IHRAM
Sebelum memakai ihram dan berniat haji atau umrah di Miqat hendaklah melakukan
mandi sunat ihram untuk membersihkan dan menyucikan badan dari segala kecemaran
dan kekotoran, seperti yang dilakukan untuk mandi wajib. Lafaz niat mandi sunat
ihram ialah : Yang bermaksud: "Sahaja aku mandi sunat ihram kerana Allah Ta'ala"
(diingatkan dalam hati)

• SEMBAHYANG SUNAT IHRAM
Setelah selesai mandi dan membersihkan badan dari segala bulu dan mengerat kuku,
mengandam misai serta meminyak rambut dan memakai bau-bauan, pakailah ihram.
Setelah selesai memakai ihram kerjakanlah sembahyang sunat ihram dua rakaat. Lafaz
niatnya ialah : Yang bermaksud: "Sahaja aku sembahyang sunat ihram dua rakaat
kerana Allah Ta'ala" Surah yang dibaca selepas Fatihah dirakaat pertama ialah
surah Al- Kafirun (Qulya aiyuhal kafirun ) dan di rakaat kedua selepas Fatihah
ialah surah Al- Ikhlas (Qulhuallahu Ahad)

• MEMBACA TALBIAH
Setelah berniat haji atau umrah ketika melalui atau melintasi Miqat dengan niatnya
Kalau melakukan Haji Lafaz niatnya, yang bermaksud : "Sahaja aku mengerjakan haji
dan aku berihram dengannya kerana Allah Ta'ala" Kalau melakukan Umrah, Lafaz
niatnya yang bermaksud : "Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya
kerana Allah Ta'ala" Maka perbanyakkanlah bacaan talbiah di sepanjang perjalanan
hingga sampai ke Mekah untuk mengerjakan rukun-rukun haji atau umrah selanjutnya.

Bacaan talbiah Yang bermaksud: "Hamba-Mu datang menyahut panggilan- Mu, Ya Allah
hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan
yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya
segala pujian dan ni'kmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak asa sekutu
bagi-Mu"

• PANTANG LARANG SEMASA IHRAM

Pantang larang semasa ihram itu adalah seperti berikut:

1. Menutup kepala atau sebahagian daripadanya bagi lelaki seperti memaikai songkok,
serban dan sebagainya tetapi tidak menjadi larangan sekiranya berteduh dibawah
naungan pokok atau payung.

2. Memakai pakaian bersarung sama ada berjahit atau sebagainya bagi lelaki, seperti
seluar, baju,sarung kaki dan semua jenis pakaian berjahit yang dijadikan sebagai
sarung.

3. Menutup muka dan tapak tangan bagi wanita

4. Memakai sarung tangan

5. Memakai bau-bauan sama ada di badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau
menghisapnya ke dalam hidung.

6. Memakai minyak rambut di kepala atau janggut.

7. Menanggalkan rambut atau menghilangkan mana-mana bulu di anggota badan,

8. Mengerat atau memotong kuku kaki atau tangan, walaupun sebahagian sahaja
daripadanya,

9. Mengerat, memebang atau mencabut segala tumbuh-tumbuhan yang sedang hidup sama
ada tumbuhan itu pokok kayu ataupun rumput, milik orang ataupun bukan.

10. Memburu binatang yang halal dimakan atau membinasakannya, sama ada dengan cara
membunuh, memukul, menjerat atau menangkap atau dengan apa cara yang menyakiti
binatang-binatang itu, malah memeranjatkan atau mengejutkan binatang itu pun
haram hukumnya,

11. Bersetubuh atau berjima'

12. Melakukan perkara-perkara pendahuluan untuk bersetubuh seperti bercium-ciuman,
kerkucup-kucupan yang menaikkan nafsu syahwat

13. Akad nikah sama ada ijab atau kabul untuk diri sendiri atau mewakili orang lain.

• HUKUM MEMBACA TALBIYAH
Jumhur ulama, menetapkan bahawa talbiah itu disyariatkan untuk dibaca oleh pada jamaah ketika dalam keadaan ihram.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Dari Ummi Salamah r.a. katanya: saya mendengar Rasulullah bersabda: Wahai keluarga Muhammad,barangsiapa berhaji, maka hendaklah di amembaca talbiyah dengan suara yang nyaring untuk hajinya"
(Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

2. Wukuf di Arafah
Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang kedua tetapi yang utama dari rukun-rukun
haji itu. Itu adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Dari Abdul Rahman bin Ya'mur r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w menyuruh
seorang penyeru menyerukan : "Haji itu ialah "Arafah". Barang siapa datang pada
malam tanggal sepuluh, sebelum terbit fajar, bererti dia telah mendapatkan
Arafah" (Riwayat - Ahmad dan Ashabus Sunan)

• WAKTU WUKUF
Apabila tiba 8 atau 9 Zulhijjah, setelah berihram (bagi mengerjakan haji secara
tamattu') maka berangkatlah untuk berwukuf di Padang Arafah. Arafah letaknya di
luar Tanah Haram dan jauhnya dari Mekah lebih kurang 12 batu atau 18 kilometer.

• Masa yang wajib berada atau berwukuf di Arafah ialah di awal waktu Zuhur pada 9
Zulhijjah, hingga sebelum fajar pada hari Nahar, iaitu 10 Zulhijjah, tetapi tidak
semestinya berada di Padang Arafah itu sepanjang masa yang tersebut kerana sahlah
berhenti disitu walaupun sebentar sahaja pada masa di antara Zuhur 9 Zulhijjah
hingga sebelum fajar 10 Zulhijjah.

• Masa yang sebaik-baiknya ialah sebahagian dari kesembilan dan sebahagian malam
kesepuluh. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Rasulullah s.a.w
berrsabda "Barangsiapa dapat berada di Arafah sebelum terbit fajar (pada hari yang
kesepuluh Zulhijjah maka dapatlah haji itu"

3. Tawaf di Kaabah
TAWAF RUKUN (IFADAH) DI BAITULLAH)

Tawaf adalah rukun yang ketiga bagi fardu haji dan yang kedua pentingnya selepas wukuf di Arafah. Tawaf ertinya mengelilingi Ka'abah sebanyak tujuh kali pusingan. Tawaf ini hendaklah dilakukan atau dilaksanakan selepas melontar Jamrah Aqabah, bercukur atau menggunting rambut dan berkorban pada pagi 10 Zulhijjah ataupun selepas melontar kesemua Jamrah dari 11 hingga 13 Zulhijjah.

SYARAT-SYARAT TAWAF

Permulaan waktu tawaf rukun ialah selepas tengah malam hari raya qorban, iaitu selepas wukuf di Arafah. Tiada waktu akhir baginya, iaitu boleh ditangguhnya kepada bila-bila masa, tetapi jika ditangguhkan tawaf ini, maka belum boleh bebas lagi dari beberapa pantang larang ihram, seperti nikah, bersetubuh dan bersentuh-sentuhan antara lelaki dan perempuan tanpa berlapik serta ada syahwat. Syarat-syarat tawaf itu ialah :-
1. Suci dari hadas kecil dan besar,

2. Menutup aurat seperti di dalam sembahyang

3. Suci dari najis pada badan, pakaian dan tempat

4. Hendaklah dimulakan tawaf itu dari tempat yang sejajar atau setentang dengan
Hajar Aswad yang ada pada satu penujuru Ka'bah itu. Sekiranya seseorang itu
memulakan tawafnya pada tepi atau sudut Ka'bah yang tidak bersetentang dengan
hajar aswad, maka tidaklah dikira pusingan itu hinggalah dia sampai pada sudut
Hajar Aswad itu maka barulah disitu dikira permulaan tawafnya.

5. Hendaklah Ka'bah sentiasa di sebelah kiri ketika berjalan kehadapan
mengelilinginya dan tidaklah sah selain daripada yang demikian, seperti berjalan
dengan mengundur atau berjalan sedang ka'bah dikanannya atau lain-lainnya.

6. Ketika hendaklah memulakan tawaf, seseorang itu kenalah berdiri dengan bahu
kirinya berbetulan dengan hajar aswad, walaupun Hajar Aswad itu jauh daripadanya.

7. Wajiblah tawaf itu dikerjakan sebanyak tujuh kali pusingan

8. Tawaf itu hendaklah dilakukan di dalam Masjidil Haram dan diluar dari bahagian
Ka'bah seperti Hijir Ismail dan Syazarwan (tembuk yang dijadikan bingkai di kaki
Baitullah, kerana termasuk di dalam ka'bah.)

JENIS-JENIS TAWAF

Jenis-jenis tawaf adalah seperti berikut:-
1. Tawaf Ifadah (Rukun) ialah tawaf bagi mereka yang balik dari Arafah iaitu tawaf
rukun bagi mereka yang mengerjakan haji (dinamakan tawaf rukun umrah bagi mereka
yang mengerjakan umrah)

2. Tawaf Qudum ialah tawaf selamat datang ke Mekah mengunjungi Baitullah bagi mereka
yang mengerjakan haji ifrad dan haji qiran disunatkan tawaf qudum,

3. Tawaf sunat iaitu tawaf biasa yang dilakukan pada bila-bila masa yang disukai.

4. Tawaf Wada' (tawaf selamat tinggal) ialah tawaf yang wajib dilakukan apabila
seseorang itu hendak meninggalkan Mekah kerana menghormati dan memuliakan
Baitullah Al-Haram.

SUNAT-SUNAT DALAM TAWAF


1. Menghadap Hajar Aswad diwaktu mulai tawaf sambil melakukan istilam (mengucup
hajar aswad)

2. Meletakkan pertengahan kain selendang di bawah keyiak kanan dan kedua-dua
hujungnya di atas kiri dengan menjadikan bahu kanan terbuka bagi lelaki.
Istilah bagi perbuatan ini dinamakan ITTIBAK.

3. Berjalan cepat, seperti berjalan-jalan anak.

4. Berjalan kaki ketika tawaf (kecuali bagi mereka yang uzur bolehlah diusung)

5. Berturut-turut tujuh kali pusingan tawaf itu.

6. Tawaf dengan tawaduk dan khusyuk.

7. Membaca zikir dan doa.

8. Sembahyang sunat dua rakaat setelah selesai tawaf dan sunat pula sembahyang itu
dibelakang Maqam Ibrahim atau di mana-mana sahaja di dalam Masjidil Haram.

Saie di antara Bukit Safa dan Marwah
Rukun Haji yang keempat ialah sa'ie, iaitu berjalan ulang-alik di antara Bukit
Safa dan Marwah.

HUKUM SA'IE
Sa'ie antara Safa dan Marwah adalah salah satu rukun dari rukun-rukun haji dan umrah. Apabila seseorang menengerjakan haji atau umrah tidak mengerjakan sa'ie antara kedua bukit ini, batallah haji dan umrahnya.

SYARAT-SYARAT SA'IE
1. Hendaklah dilakukan selepas tawaf rukun dan boleh juga selepas tawaf qudum bagi
yang mengerjakan haji ifrad;

2. Dimulai dari Bukit Safa dan disudahi di Bukit Marwah- jarak antara Safa dan
Marwah lebih kurang 420 meter;

3. Cukup 7 kali perjalanan dengan yakin iaitu dari safa ke marwah sekali dan dari
marwah ke safa sekali;

4. Hendaklah sa'ie hingga sampai penghujung tempat sa'ie di Bukit Safa dan Bukit
Marwah pada kawasan yang dituntuti pada tiap-tiap kali.

5. Tidak berniat lain yang boleh memesongkan tujuan sa'ie

6. Hendaklah dilakukan sa'ie itu di mas'a sendiri iaitu tempat yang terbentang
antara safa dan marwah bernama Al- Wadi

SUNAT-SUNAT DALAM MENGERJAKAN SA'IE

Perkara-perkara yang sunat dilakukan semasa mengerjakan sa'ie diantaranya ialah:-

1. Berada dalam keadaan suci, yakni berwuduk,

2. Keluar ke tempat sa'ie dengan melalui pintu safa

3. Menaiki Bukit Safa dan Marwah hingga sampai ke anak-anak batu bukit dan
berdoa,

4. Setiap kali berada di Bukit Safa dan Marwah hendaklah menghadap kiblat
(Baitullah) dan mengangkat kedua belah tangan serta bertakbir 3 kali dan
membaca kalimah tauhid.

5. Berlari-lari anak atau berjalan cepat di satu tempat bertanda hijau bagi
lelaki.

6. Mualat antara sa'ie dengan tawaf.

Bergunting atau Bercukur Rambut (Tahallul)

Rukun haji yang kelima ialah tahallul iaitu bercukur atau menggunting rambut sekurang-kurangnya tiga helai, tetapi yang sebaik-baiknya bercukur semuanya sekali bagi lelaki. Bagi wanita pula tidak dihendakki bercukur, cuma menggunting rambut sahaja. Sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah telah membenarkan Rasul-Nya (dalam) mimpinya dengan kebenaran (iaitu) demi seseungguhnya kamu akan ke Masjidil Haram insya Allah ( jika dikehendaki Allah) dengan aman sentosa serta bercukur dan menggunting (rambut) kepalamu tanpa takut sedikit pun" (Surah Al- Fath ayat 27)


WAKTU BERCUKUR

Bagi orang yang mengerjakan haji, ialah selepas melontar Jumrah Aqabah atau tawaf rukun. Ini dinamakan tahallul awal. Bagi orang yang tidak membuat tahallul awal dalam mengerjakan haji, ialah selepas sa'ie. Demikian juga waktu bercukur bagi orang yang mengerjakan umrah.
Bagi orang yang membuat haji Ifrad ialah selepas tawaf rukun, jika dia telah mengerjakan sa'ie selepas tawaf qudum dahulu. Dengan bercukur atau bergunting itu maka seseorang itu telah bertahallul dan tamatlah pantang larang semasa berihram baginya.

PERINGATAN

Seseorang itu hendaklah bercukur atau bergunting untuk dirinya dahulu sebelum dia boleh mencukur atau mengguntingkan orang lain.

TAHALLUL HAJI
Tahallul haji terbahagi kepada dua bahagian iaitu: " Tahallul Awal " Tahallul Thani

Tahallul Awal (pertama) ialah apabila seseorang itu selesai mengerjakan dua dari tiga perkara berikut:-
i) melontar jumrah Aqabah;

ii) tawaf rukun;

iii) bercukur atau bergunting

Tahallul Thani (Kedua) ialah apabila seseorang itu selesai mengerjakan ketiga-tiga perkara yang tersebut di atas. Setelah selesai melakukan tahallul awal (pertama), para haji bolehlah melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam masa ihram, melainkan tiga perkara masih terlarang, iaitu:

1. Berkahwin, mengahwinkan (menjadi wali) dan menerima wakil kahwin,

2. Melakukan perkara-perkara permulaan persetubuhan seperti bercium-ciuman,
bercumbu- cumbu dan sebagainya dan,

3. Bersetubuh
Sebaliknya apabila telah selesai melakukan tahallul kedua, maka tidak ada lagi
pantang larang semasa berihram itu sama sekali.

SUNAT-SUNAT SEMASA BERCUKUR

Perkara-perkara yang sunat dilakukan semasa bercukur atau bergunting rambut itu diantaranya ialah:-
1. Memulakan bercukur di sebelah kanan, kemudian baru yang kiri,

2. Menghadap kiblat (Ka'bah)

3. Bertakbir serta berdoa,

4. Mengandam misai dan memotong kuku, Bagi orang yang berkepala botak, maka sunat
melalukan pisau cukur di atas kepalanya, walaupun tiada berambut.


Tertib
Rukun haji yang keenam ialah tertib pada kebanyakan rukun, iaitu didahulukan niat ihram dari rukun-rukun yang lain. Didahulukan wukuf dari tawaf ifadah dan didahulukan tawaf dari sa'ie - tetapi sa'ie haji boleh didahulukan dari wukuf dan tawaf bagi orang yang mengerjakan haji ifrad.
Sa'ie itu dikerjakan selepas tawaf Qudum. Dengan berbuat demikian tidaklah perlu lagi dilakukan sa'ie selepas tawaf rukun nanti. Berlainan dengan rukun-rukun Umrah, wajib dikerjakan satu persatu mengikut tertibnya.

Haji dan Umrah itu ada 5 jenis, iaitu:

JENIS-JENIS HAJI DAN UMRAH

1. Haji jenis Ifrad
2. Haji jenis Tamattu'
3. Haji jenis Qiran
4. Haji sahaja, dan
5. Umrah sahaja

HAJI JENIS IFRAD
Ifrad maknanya " berasingan" jadi haji ifrad itu ialah mengerjakan haji dan umrah secara berasingan, iaitu dikerjakan haji dahulu hingga selesai dan kemudian baharulah dikerjakan umrah dalam tahun itu atau dikerjakan umrah sebelum menjelang bulan-bulan haji setelah itu barulah dikerjakan haji.

HAJI JENIS TAMATTU'
Tamattu' ertinya bersenang-senag, jadi Haji Tamattu' itu ialah mengerjakan umrah dahulu dalam bulan-bulan haji, setelah selesai mengerjakan umrah lalu bersenang-senang dengan sebab telah tidak terikat lagi dengan pantang larang ihram. Kemudian setelah sampai waktu haji berihramlah untuk mengerjakan haji pula. Haji jenis ini dikenakan DAM mengikut syarat-syaratnya.

HAJI JENIS QIRAN
Qiran ertinya bersama-sama, jadi Haji Qiran itu ialah dikerjakan kedua-dia haji dan umrah dengan serentak, iaitu dengan satu tawaf, satu sa'ie dan satu bergunting, kerana kerja-kerja umrah itu dimasukkan dalam kerja-kerja haji. Haji cara ini juga wajib melaksanakan DAM. Berhubung dengan kebolehan mengerjakan haji Qiran ini sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
"Sesiapa mengerjakan haji bersama umrah (iaitu Qiran) maka sahlah dia kerjakan satu tawaf dan satu sai'e sahaja untuk kedua-dua haji dan umrah itu" (Riwayat - Turmizi)

Pengertian DAM dari segi bahasa ialah darah.
Ibadah gantian yang berbentuk binatang ternakan yang disembelih atau digantikan dengan makanan atau puasa.
Sebab-sebab diwajibkan dam:
• Melanggar pantang larang dalam Ihram
• Meninggalkan perkara-perkara yang wajib dalam ibadat haji atau umrah
• Mengerjakan Haji Tamattu' atau Haji Qiran, menurut syarat-syaratnya
• Berlaku Ihsar bagi orang yang berniat ihram
• Melanggar Nazar semasa mengerjakan haji
• Luput Wuquf di Arafah
• Meninggalkan Tawaf Wada'

1. TERTIB DAN TAQDIR
Pengertian: Tidak ada pilihan dengan dam yang telah ditetapkan. Namun jika tidak terdaya, gantian akan ditentukan mengikut hukum syara'.
Kesalahan Yang Dilakukan
Wuquf di Arafah • Luput Wuquf di Arafah

Melanggar Nazar • Melanggar nazar semasa mengerjakan haji

Meninggalkan Perkara-Perkara Wajib Haji dan Umrah

• Tidak melontar Jamrah
• Tidak bermalam di Muzdalifah
• Tidak bermalam di Mina
• Tidak berihram di Miqat
• Meninggalkan Tawaf Wada'

Mengerjakan Haji Tamattu' atau Haji Qiran - Ihram Tamattu' (dengan syarat-syaratnya)

• Ihram Qiran (dengan syarat-syaratnya)
Dam yang dikenakan:

Menyembelih binatang ternakan seperti seekor kibasy, kambing atau satu pertujuh daripada lembu, unta atau kerbau

JIKA TIDAK BERKUASA
Berpuasa selama 3 hari pada bulan haji & 7 hari apabila ia balik ke tempatnya

JIKA TIDAK BERKUASA
Tanggungan Sendiri

2. TERTIB & TA'DIL
Pengertian: Apabila seseorang itu tidak berkuasa untuk mengeluarkan makanan, maka hendaklah ianya diganti dengan mengerjakan puasa.
Kesalahan Yang Dilakukan

Larangan Dalam Ihram Persetubuhan yakni jimak yang dilakukan dalam beberapa keadaan • Sebelum bertahallul awal bagi ibadat haji atau

• Sebelum selesainya kerja-kerja amalan umrah bagi ibadat umrah

Dam yang dikenakan:
Menyembelih seekor unta

JIKA TIDAK BERKUASA - Menyembelih seekor lembu

JIKA TIDAK BERKUASA - Menyembelih 7 ekor kambing

JIKA TIDAK BERKUASA - Membeli makanan dengan nilai harga seekor unta kemudian
dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Haram

JIKA TIDAK BERKUASA - Berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor unta

DAN Menghabiskan kerja-kerja hajinya atau umrahnya

DAN Menqada' ibadat hajinya pada tahun hadapan

Kesalahan Yang Dilakukan

Berlaku IHSAR bagi orang yang berniat ihram
• Tertahan atau ditahan dalam perjalanan daripada memasuki Makkah setelah melafazkan
ihram, disebabkan oleh angkara musuh atau dalam keadaan diri yang terkepung

Dam yang dikenakan:
Menyembelih seekor kambing Dan Bercukur atau bergunting

JIKA TIDAK BERKUASA
Membeli makanan dengan nilai harga seekor kambing kemudian dibahagikan kepada fakir miskin di tempat Tahallul

JIKA TIDAK BERKUASA
Berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor kambing

3. TAKHYIR DAN TA'DIL
Pengertian : Memilih salah satu daripada dam yang ditetapkan.
Kesalahan Yang Dilakukan
• Memburu binatang buruan
Menyembelih binatang mengikut bandingan binatang yang diburu daging itu dan
dibahagikannya kepada penduduk miskin di Tanah Haram

• Menebang, mengerat atau mencabut pokok di Tanah Haram Makkah (kecuali pokok yang
mati serta sudah kering) Dam Yang dikenakan
Membeli makanan dengan nilai harganya. Makanan itu hendaklah dibahagikan kepada
orang-orang miskin Tanah Haram
Mengerjakan puasa untuk beberapa hari sebanyak bilangan cupak yang dapat dibeli
dengan harga nilainya iaitu kadar satu cupak sama dengan berpuasa satu hari.

4. TAKHYIR DAN TAQDIR

Pengertian: Ketetapan pada barang yang boleh diganti.

Kesalahan Yang Dilakukan
• Memburu binatang buruan
Menyembelih binatang mengikut bandingan binatang yang diburu daging itu dan
dibahagikannya kepada penduduk miskin di Tanah Haram

• Menebang, mengerat atau mencabut pokok di Tanah Haram Makkah (kecuali pokok yang
mati serta sudah kering) Dam Yang dikenakan
Membeli makanan dengan nilai harganya. Makanan itu hendaklah dibahagikan kepada
orang-orang miskin Tanah Haram
Mengerjakan puasa untuk beberapa hari sebanyak bilangan cupak yang dapat dibeli
dengan harga nilainya iaitu kadar satu cupak sama dengan berpuasa satu hari.