Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

KOMUNITI GABUNGAN ANAK - ANAK GAYONG

Komuniti Gabungan Anak-Anak Gayong SeMalaysia

MARI DENGAR LAGU


MusicPlaylist

BAKA IPD KUALA MUDA

Ahad, 28 Mac 2010

PERUTUSAN SEMPENA SAMBUTAN HARI POLIS 203


KETUA POLIS NEGARA Tan Sri Musa Hassan
mungkin antara individu terkenal tempatan paling banyak mendapat liputan media sepanjang bulan ini berikutan timbul pelbagai ‘cerita panas’ mengenai diri dan kerjaya kepolisan beliau. Antaranya, desas-desus peletakan jawatan beliau yang dikatakan atas desakan pihak tertentu sekali gus menyaksikan rombakan besar-besaran di Bukit Aman, selain dakwaan berlaku pergeseran antara beliau dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Biarpun sudah berkali-kali Hishammuddin dan Musa menafikan, ia masih menjadi bualan hangat di kalangan pengamal media tempatan dan orang ramai sendiri. Malah ada yang tidak sabar-sabar menunggu kesudahan ‘drama polis’ itu. Namun, apa pun yang berlaku, ia langsung tidak menggugat fokus anak sulung kepada guru agama, Tan Sri Hassan Azahari, itu terhadap tugas pentingnya, termasuk dalam menjayakan usaha menurunkan indeks jenayah di negara ini, selain pembangunan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ini terbukti dengan penurunan indeks jenayah di seluruh negara sebanyak 13.2 peratus sepanjang dua bulan pertama tahun ini, yang dilihat mampu mencapai sasaran penurunan 20 peratus dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Malah, perangkaan menunjukkan penurunan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu itu jelas menggambarkan komitmen tinggi dan semangat juang di kalangan warga kerja PDRM dalam mencapai sasaran ditetapkan kerajaan. Bagi Musa, pencapaian itu lebih dianggap sebagai ‘hadiah istimewa’ pasukan berkenaan kepada kerajaan dan rakyat sempena sambutan Hari Polis Ke-203 hari ini.

“Kali ini agak istimewa sedikit kerana saya baru dimaklumkan indeks jenayah di seluruh negara sepanjang dua pertama tahun ini menunjukkan penurunan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ini jelas membuktikan kemampuan kita mencapai sasaran itu dan mengekalkan kedudukan PDRM sebagai penguatkuasa undang-undang disegani dengan adanya warga kerja yang kompeten dan berintegriti dalam menjalankan tugas secara adil serta profesional,” katanya.
Beliau yang begitu bersemangat dalam wawancara khas di pejabatnya kelmarin sempena Hari Polis Ke-203, turut memberi jaminan Pelan Strategik 5 Tahun (PS5T) akan diteruskan kesinambungannya, dengan dengan tumpuan kepada keperluan logistik dan sumber manusia.

Menurutnya, pelan yang dilancarkan dua tahun lalu itu amat penting dalam menunaikan janji PDRM kepada masyarakat iaitu mengurangkan kadar jenayah, selain memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.

“Ia termasuk penambahan balai polis di seluruh negara, selain jumlah keanggotaan seramai 60,000 untuk tugasan lapangan bagi memastikan kehadiran polis dirasai masyarakat sekali gus mencetuskan rasa gerun kepada penjenayah.

“Seramai 20,000 anggota terbabit dalam tugasan lapangan untuk NKRA dan jumlah itu belum mencukupi. Anggota baru yang kita ambil pun baru 10,000 orang setakat ini. Masih ada banyak kekosongan yang akan diisi dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau menjelaskan masih banyak perancangannya dalam PS5T belum dapat dilaksanakan disebabkan faktor berkaitan, termasuk kekangan ekonomi.

Antaranya, pembelian sistem komunikasi berintegrasi yang dilihat mampu meningkatkan kecekapan operasi PDRM.

Bagaimanapun, perancangan itu diyakininya akan dilaksanakan secara berperingkat pada masa depan kerana keperluan terhadapnya memang ada.

Musa yang kontrak perkhidmatannya selama setahun dijadualkan berakhir 12 September ini turut berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan skim perkhidmatan baru yang mampu meningkatkan tahap profesionalisme kerjaya kepolisan di negara ini.

Melalui skim baru itu, jawatan inspektor dinaik taraf, manakala sarjan berkelulusan diploma boleh dilantik untuk membantu tugas penyiasatan, sekali gus mengatasi beban tugas menyiasat ditanggung pegawai penyiasat (IO) ketika ini.

“Seorang IO sekarang terpaksa mengendalikan purata 15 kes sebulan hingga mendatangkan beban. Padahal, kajian yang dibuat mendapati nisbah ideal ialah lima kes bagi seorang IO. Kita berterima kasih kerana masalah ini mendapat perhatian kerajaan.

“Ini juga sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kecekapan proses siasatan yang sebelum ini dipertikaikan, dengan kelemahan itu turut menyebabkan ada kes terpaksa digugurkan. Dengan pertambahan itu, tugas siasatan akan dibuat secara berkumpulan, bukan lagi secara bersendirian,” katanya.

Tumpuan juga, katanya, turut diberikan kepada pembangunan modal insan melalui program latihan berterusan bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

“Ini termasuk pendedahan dalam perkara berkaitan hak asasi kemanusiaan. Malaysia sebuah negara demokrasi dan isu hak asasi kemanusiaan ini sentiasa dipandang serius.

“Dengan adanya pendedahan sebegini, kita dapat memastikan setiap tindakan diambil mengikut lunas undang-undang dan diterima masyarakat,” katanya.

Musa turut mengulangi amaran kerasnya tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya yang terbabit dalam kes salah laku dan rasuah.

Katanya, perbuatan itu tidak boleh dimaafkan kerana boleh menghilangkan kepercayaan dan rasa hormat rakyat pada pasukan.

“Sebagai penguasa undang-undang, isu integriti amatlah penting. Jangan sampai keyakinan rakyat pada kita hilang hanya disebabkan kita tiada integriti.

“Justeru, jangan ada yang salah guna kuasa dan mengambil rasuah. Jika ada yang melakukannya, kita tidak akan bertolak ansur dan hukumannya sama saja dengan orang lain yang melakukan jenayah.

Tiada pegawai dan anggota polis mempunyai kekebalan dari undang-undang negara,” katanya.

Sementara itu, PDRM akan menggunakan pendekatan lebih mesra rakyat dalam melaksanakan tugas harian.

“Kita tidak mahu wujud jurang dengan masyarakat kerana kerjasama mereka amat penting dalam memerangi jenayah. Ini bertepatan dengan slogan pasukan - Tegas, Adil dan Berhemah - yang dilihat mampu meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat.

“Jika semua perancangan itu dapat dilaksanakan, maka tercapai hasrat saya melihat sebuah pasukan (polis) yang mantap, yang diimpikan selama ini. Inilah yang saya harapkan dari pegawai dan anggota saya sempena Hari Polis Ke-203,” katanya.

Namun, Musa menegaskan sekiranya perancangan itu memperoleh kejayaan, ia bukan untuk dirinya sebaliknya pasukan, begitu juga rakyat Malaysia.

“Yang penting, keyakinan dan kepercayaan rakyat pada kita mesti ada. Tanpa sokongan masyarakat umum, sudah tentu usaha memerangi jenayah tidak akan berjaya kerana ia adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Khamis, 11 Mac 2010

PERANAN LELAKI PELIHARA MARUAH WANITA

Islam adalah agama yang amat prihatin terhadap maruah dan kewibawaan wanita. Allah dan Rasul meminta umat Islam supaya memelihara dan melindungi wanita sebaik mungkin. Wanita dianggap sebagai makhluk Allah yang perlu dihormati dan dilindungi.

Berdasarkan kepada perspektif begini, maka Islam meletakkan lelaki sebagai ketua keluarga, masyarakat dan negara. Tugas yang berat begini dipertanggungjawabkan kepada lelaki adalah berdasarkan pada fitrah ciptaan Tuhan. Manusia yang lemah perlu dibantu oleh orang kuat dan berkuasa.

Penyertaan wanita dalam aspek tanggungjawab dan peranan pembangunan ummah dan negara perlu dilihat dalam perspektif kerjasama antara lelaki dan wanita, bukan berlandaskan pada persaingan yang boleh menjurus kepada pertelingkahan gender (jantina) seperti berlaku di Barat.

Peranan dan tanggungjawab yang ingin dilaksanakan oleh setiap individu lelaki dan wanita mesti berlandaskan kepada kebolehan dan keupayaan diri supaya percanggahan dan kelemahan dalam pelaksanaan tugas tidak wujud dalam negara Islam.

Penyertaan wanita dalam melaksanakan tugas atau tanggungjawab masyarakat dan negara amat dihormati dan dialu-alukan oleh Islam jika mereka mampu dan mempunyai kebolehan setanding dengan lelaki.

Kriteria ini amat penting kerana tugas kemasyarakatan dan kenegaraan adalah bergantung sepenuhnya kepada kebijaksanaan, kegigihan, pengorbanan dan kefahaman yang mendalam terhadap tugas dan tanggungjawab.

Kehadiran wanita Islam dalam urusan pemerintahan dan perkhidmatan negara perlu berdasarkan pada peraturan dan disiplin yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.

Hukum-hakam berkaitan dengan diri dan juga hal ehwal pentadbiran mesti disemat dalam hati nurani supaya kehadiran mereka dalam urusan kemasyarakatan dan kenegaraan tidak menimbulkan permasalahan yang serius sehingga boleh menjatuhkan maruah dan kewibawaan wanita dalam urusan pentadbiran negara.

Tercemar

Dalam era globalisasi, maruah dan kewibawaan wanita mudah tercemar jika mereka kurang prihatin terhadap konsep hidup Islam yang berlandaskan kepada wahyu. Peristiwa gadis terheret ke lembah dadah dan kejatuhan moral semakin hari kian menular. Peristiwa wanita lacurkan diri dengan tujuan untuk menyara anak-anak yang lapar merupakan salah satu fenomena masyarakat Islam masa kini.

Di negara-negara Islam yang miskin, kegiatan pelacuran dilakukan oleh wanita Islam walaupun perbuatan begini dikutuk dan diharamkan sama sekali oleh Islam. Wujudnya suasana begini adalah akibat daripada kurangnya kesedaran terhadap tanggungjawab hakiki kaum lelaki dalam mengendalikan urusan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Wanita Islam perlu diberi pendidikan tentang hakikat maruah dan kewibawaan diri supaya mereka tahu mengendalikan urusan diri dan kehidupan apabila berada dalam suasana genting.

Lelaki pula perlu dididik supaya menghormati dan belas kasihan kepada wanita seperti dijelaskan oleh Allah dan Rasul. Penghormatan dan belas kasihan kepada wanita bukan berdasarkan kepada hawa nafsu dan kepentingan diri. Ia lebih menjurus kepada pengorbanan dan sumbangan kepada wanita.

Peranan ulama dan cendekiawan Islam dalam pembentukan keperibadian umat Islam dalam era globalisasi adalah amat penting. Kandungan isi-isi ceramah dan tulisan perlu ditumpukan kepada didikan akidah, syariah dan akhlak mengikut perspektif Islam yang lebih luas, bukan berdasarkan kepada perasaan dan pemahaman yang berteraskan kepada adat dan budaya yang bertentangan dengan realiti atau konteks ajaran Islam.

Pandangan yang terlalu liberal sehingga boleh menggugatkan kesucian hukum-hakam perlu ditangkis supaya umat Islam tidak terkeliru dalam melaksanakan kehidupan seharian mereka sebagai umat Islam yang mendapat keredhaan dari Allah.

Dalam suasana dunia ghairah dengan kecanggihan teknologi, keimanan umat Islam kian hari semakin terhakis kerana pengaruh yang boleh mendorong ke arah hawa nafsu lebih kuat daripada pengaruh yang boleh membimbing mereka ke arah kehidupan murni dan suci.

Mangsa utama dalam mengharungi arus ini ialah kaum wanita. Mereka terheret ke kancah dosa dan maksiat akibat ketipisan keimanan dan kurang kesedaran terhadap kepentingan memelihara maruah dan harga diri.

Apabila wanita telah hilang rasa penghormatan terhadap kewibawaan diri maka corak kehidupan dan nasib mereka tidak ada bezanya dengan wanita-wanita di zaman sebelum Islam. Rasulullah s.a.w. berkorban tenaga, masa dan kepentingan diri dengan tujuan untuk menjulang maruah wanita ke puncak kehormatan secara memperlengkapkan wanita dengan undang-undang dan peraturan diri sebagai panduan untuk mengekalkan maruah dan kewibawaan mereka.

Kini kekayaan dan kemewahan dianggap sebagai matlamat hidup utama. Nilai dan harga diri bukan merupakan perkara terpenting dalam kehidupan bagi mencapai kebahagiaan yang hakiki. Apabila hati nurani telah tersemat dengan kemewahan dan keghairahan hidup maka perkara yang terkutuk dan haram dijadikan amalan seharian. Oleh itu keturunan dan nasib anak-anak yang dilahirkan bukan merupakan perkara penting yang perlu difikirkan.

Ulama, guru-guru, ibu bapa dan para pemimpin negara perlu memainkan peranan penting bagi mengembalikan kewibawaan umat Islam. Kejatuhan moral dan kewibawaan akibat terlalu ghairah dengan kemewahan dan pangkat bukan sahaja merosakkan struktur sosial masyarakat Islam, malah ia juga boleh mendorong bangsa lain memandang rendah kepada agama Islam.

- DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah pensyarah Jabatan Usuludin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

6 CIRI WANITA YANG LELAKI PERLU HINDARI

Ada satu pandangan daripada pakar cinta di luar negara berkenaan ciri-ciri wanita yang wajib dijauhi.

1. Wanita kategori liar.

Inilah jenis wanita yang sering dinasihati oleh mana-mana ibu untuk dijauhi. Pada awalnya, perhubungan dengan wanita sebegini sememangnya menyeronokan.

Dia selalu melakukan sesuatu di luar jangkaan. Perasaan selalu mencuba sesuatu yang bagus, tetapi sikap cuba-cubanya tidak wujud sempadan. Kita teruja dengan kegilaannya tetapi tak kita sedar, tersadung dalam masalah yang diciptanya.

2. Wanita si Bom jangka.

Wanita bersifat bom jangka seumpama emosi yang akan meletus tanpa apa-apa amaran ketika anda menjangka semuanya erkawal.

Dia kelihatan normal luarannya sehinggalah kita menjadi sasarannya.

Individu seperti ini bukan sahaja menjadi bom jangka dalam emosi kemarahan malah emosinya akan mengubah keputusan-keputusan penting.

3. Wanita si Gula-gula

Gadis muda seumpama gula-gula yang melihat kita sebagai pembimbingnya dan menyukai kewujudan kita.

Dalam keadaan ini kita seolah-olah bertindak seperti seorang yang mengajarnya untuk menjadi wanita idaman dan cuba mencipta kehidupan yang penuh kematangan untuknya.

Hakikatnya kita sudah tertipu, gadis muda seumpama ini sebenarnya sedang menguji kuasa tarikan yang ada pada dirinya.

4. Wanita si Bintang

Wanita bersifat bintang menjadikan pasangannya sebagai jalan untuk mempopularkan atau menguntungkan dirinya semata-mata, lebih-lebih lagi jika dia mempunyai keinginan besar terhadap sesuatu yang jelas bukannya diri kita.

5. Wanita si Penggapai.

Penggapai mempunyai kedudukan kewangan lebih dari apa kita miliki dan dia menyukai keadaan demikian, ia memberi jaminan kepada dirinya.

Mengapa dia suka? Dia memilih pasangan yang bukan dalam kelompoknya agar ia memberinya ruang bergerak.

Kita menjadi sasaran jika matlamat kewangannya gagal, dan kita dilihat sebagi punca terbazir masanya sekadar untuk aktiviti bersama.

Dia cenderung mengatakan setiap usahanya adalah untuk kebahagian bersama.

6. Wanita yang Tercedera.

Hubungan yang terjejas menjadikan wanita dalam kategori ini tercedera emosinya sepanjang masa.

Kewujudan kita adalah kapal persinggahannya sementara baginya untuk memikirkan kesilapannya, apa yang terjadi, siapakah dia dan apa yang perlu dilakukannya.

Sepanjang kita menjadi pasangannya, kita mendengar segala kisah buruknya. Kita akan menjadi pendengar setia kisah sedihnya semalam, hari ini dan esok.

Dalam jangkaan kita kewujudannya untuk menyintai kita, tetapi dia lebih memikirkan keadaan dirinya.

EHSAN: SAHABAT FB..