Ahad, 28 Mac 2010
PERUTUSAN SEMPENA SAMBUTAN HARI POLIS 203
KETUA POLIS NEGARA Tan Sri Musa Hassan
mungkin antara individu terkenal tempatan paling banyak mendapat liputan media sepanjang bulan ini berikutan timbul pelbagai ‘cerita panas’ mengenai diri dan kerjaya kepolisan beliau. Antaranya, desas-desus peletakan jawatan beliau yang dikatakan atas desakan pihak tertentu sekali gus menyaksikan rombakan besar-besaran di Bukit Aman, selain dakwaan berlaku pergeseran antara beliau dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Biarpun sudah berkali-kali Hishammuddin dan Musa menafikan, ia masih menjadi bualan hangat di kalangan pengamal media tempatan dan orang ramai sendiri. Malah ada yang tidak sabar-sabar menunggu kesudahan ‘drama polis’ itu. Namun, apa pun yang berlaku, ia langsung tidak menggugat fokus anak sulung kepada guru agama, Tan Sri Hassan Azahari, itu terhadap tugas pentingnya, termasuk dalam menjayakan usaha menurunkan indeks jenayah di negara ini, selain pembangunan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ini terbukti dengan penurunan indeks jenayah di seluruh negara sebanyak 13.2 peratus sepanjang dua bulan pertama tahun ini, yang dilihat mampu mencapai sasaran penurunan 20 peratus dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Malah, perangkaan menunjukkan penurunan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu itu jelas menggambarkan komitmen tinggi dan semangat juang di kalangan warga kerja PDRM dalam mencapai sasaran ditetapkan kerajaan. Bagi Musa, pencapaian itu lebih dianggap sebagai ‘hadiah istimewa’ pasukan berkenaan kepada kerajaan dan rakyat sempena sambutan Hari Polis Ke-203 hari ini.
“Kali ini agak istimewa sedikit kerana saya baru dimaklumkan indeks jenayah di seluruh negara sepanjang dua pertama tahun ini menunjukkan penurunan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ini jelas membuktikan kemampuan kita mencapai sasaran itu dan mengekalkan kedudukan PDRM sebagai penguatkuasa undang-undang disegani dengan adanya warga kerja yang kompeten dan berintegriti dalam menjalankan tugas secara adil serta profesional,” katanya.
Beliau yang begitu bersemangat dalam wawancara khas di pejabatnya kelmarin sempena Hari Polis Ke-203, turut memberi jaminan Pelan Strategik 5 Tahun (PS5T) akan diteruskan kesinambungannya, dengan dengan tumpuan kepada keperluan logistik dan sumber manusia.
Menurutnya, pelan yang dilancarkan dua tahun lalu itu amat penting dalam menunaikan janji PDRM kepada masyarakat iaitu mengurangkan kadar jenayah, selain memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.
“Ia termasuk penambahan balai polis di seluruh negara, selain jumlah keanggotaan seramai 60,000 untuk tugasan lapangan bagi memastikan kehadiran polis dirasai masyarakat sekali gus mencetuskan rasa gerun kepada penjenayah.
“Seramai 20,000 anggota terbabit dalam tugasan lapangan untuk NKRA dan jumlah itu belum mencukupi. Anggota baru yang kita ambil pun baru 10,000 orang setakat ini. Masih ada banyak kekosongan yang akan diisi dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau menjelaskan masih banyak perancangannya dalam PS5T belum dapat dilaksanakan disebabkan faktor berkaitan, termasuk kekangan ekonomi.
Antaranya, pembelian sistem komunikasi berintegrasi yang dilihat mampu meningkatkan kecekapan operasi PDRM.
Bagaimanapun, perancangan itu diyakininya akan dilaksanakan secara berperingkat pada masa depan kerana keperluan terhadapnya memang ada.
Musa yang kontrak perkhidmatannya selama setahun dijadualkan berakhir 12 September ini turut berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan skim perkhidmatan baru yang mampu meningkatkan tahap profesionalisme kerjaya kepolisan di negara ini.
Melalui skim baru itu, jawatan inspektor dinaik taraf, manakala sarjan berkelulusan diploma boleh dilantik untuk membantu tugas penyiasatan, sekali gus mengatasi beban tugas menyiasat ditanggung pegawai penyiasat (IO) ketika ini.
“Seorang IO sekarang terpaksa mengendalikan purata 15 kes sebulan hingga mendatangkan beban. Padahal, kajian yang dibuat mendapati nisbah ideal ialah lima kes bagi seorang IO. Kita berterima kasih kerana masalah ini mendapat perhatian kerajaan.
“Ini juga sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kecekapan proses siasatan yang sebelum ini dipertikaikan, dengan kelemahan itu turut menyebabkan ada kes terpaksa digugurkan. Dengan pertambahan itu, tugas siasatan akan dibuat secara berkumpulan, bukan lagi secara bersendirian,” katanya.
Tumpuan juga, katanya, turut diberikan kepada pembangunan modal insan melalui program latihan berterusan bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan.
“Ini termasuk pendedahan dalam perkara berkaitan hak asasi kemanusiaan. Malaysia sebuah negara demokrasi dan isu hak asasi kemanusiaan ini sentiasa dipandang serius.
“Dengan adanya pendedahan sebegini, kita dapat memastikan setiap tindakan diambil mengikut lunas undang-undang dan diterima masyarakat,” katanya.
Musa turut mengulangi amaran kerasnya tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya yang terbabit dalam kes salah laku dan rasuah.
Katanya, perbuatan itu tidak boleh dimaafkan kerana boleh menghilangkan kepercayaan dan rasa hormat rakyat pada pasukan.
“Sebagai penguasa undang-undang, isu integriti amatlah penting. Jangan sampai keyakinan rakyat pada kita hilang hanya disebabkan kita tiada integriti.
“Justeru, jangan ada yang salah guna kuasa dan mengambil rasuah. Jika ada yang melakukannya, kita tidak akan bertolak ansur dan hukumannya sama saja dengan orang lain yang melakukan jenayah.
Tiada pegawai dan anggota polis mempunyai kekebalan dari undang-undang negara,” katanya.
Sementara itu, PDRM akan menggunakan pendekatan lebih mesra rakyat dalam melaksanakan tugas harian.
“Kita tidak mahu wujud jurang dengan masyarakat kerana kerjasama mereka amat penting dalam memerangi jenayah. Ini bertepatan dengan slogan pasukan - Tegas, Adil dan Berhemah - yang dilihat mampu meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat.
“Jika semua perancangan itu dapat dilaksanakan, maka tercapai hasrat saya melihat sebuah pasukan (polis) yang mantap, yang diimpikan selama ini. Inilah yang saya harapkan dari pegawai dan anggota saya sempena Hari Polis Ke-203,” katanya.
Namun, Musa menegaskan sekiranya perancangan itu memperoleh kejayaan, ia bukan untuk dirinya sebaliknya pasukan, begitu juga rakyat Malaysia.
“Yang penting, keyakinan dan kepercayaan rakyat pada kita mesti ada. Tanpa sokongan masyarakat umum, sudah tentu usaha memerangi jenayah tidak akan berjaya kerana ia adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan