Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

KOMUNITI GABUNGAN ANAK - ANAK GAYONG

Komuniti Gabungan Anak-Anak Gayong SeMalaysia

MARI DENGAR LAGU


MusicPlaylist

BAKA IPD KUALA MUDA

Rabu, 25 November 2009

Aidil Adha

Seluruh umat Islam menyambut hari raya Haji atau hari raya Korban. Hari ini lebih daripada 27,000 ribu saudara mara, sahabat handai, jiran tetangga dari negara kita berada di Makkah menunaikan ibadah haji. Bagi kita yang tidak berkesempatan untuk ke tanah suci, maka pada hari ini kita berhimpun, bertakbir, bertahmid dan menunaikan solat sunat iduladha. Seterusnya pada hari ini juga, umat Islam diperintah dan disunatkan berkorban binatang ternakan sebagai korban untuk disedekahkan dagingnya kepada fakir misikin semata-mata kerana Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
Mafhumnya: " Sesungguhnya pertama-tama amalan yang kita lakukan pada hari ini (iduladha) ialah supaya kita solat kemudian kembali ke rumah lalu kita menyembelih korban, maka barangsiapa yang mengerjakan sedemikian ia telah mengikut sunnahku. Adapun orang yang menyembelih sebelum melakukan solat, maka itu hanyalah merupakan daging yang hendak dipergunakan untuk keluarganya sahaja, tidak termasuk amalan ibadah penyembelihan korban".
Iduladha merupakan hari perayaan yang sangat istimewa dalam syariat Islam. Keistimewaannya ialah kerana mempunyai dua tuntutan ibadah besar yang dilaksanakan secara serentak di seluruh dunia iaitu:
Pertama, di tanah suci Mekah dilaksanakan ibadah haji. Pada 9 Zulhijjah berjuta-juta orang Islam menyempurnakan ibadah haji dengan berwukuf di padang Arafah, tawaf di kaabah dan melontar jamrah. Meskipun di padang Arafah matahari panas terik, berjuta manusia dari pelbagai bangsa,bahasa, warna kulit, namun berpakaian yang sama dengan tujuan yang sama iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT. Syiar ibadah haji juga merupakan perhimpunan tahunan yang disyariatkan oleh Allah dalam bentuk yang amat berkesan iaitu mengikatkan kesatuan dan perpaduan melalui pegangan akidah yang satu dan bukannya melalui fahaman bangsa dan material. Inilah asas perpaduan yang dipraktikan oleh Nabi SAW yang berjaya menegakkan negara Islam Madinah hanya dalam masa 10 tahun.
Perkara kedua, ialah seluruh kaum muslimin disegenap ceruk rantau dunia semenjak hari Arafah hingga tamat hari Tasyrik mengumandangkan gema takbir, tahlil dan tahmid dengan suara yang penuh keyakinan mengisytiharkan pengakuan bahawa hanya Allah Azza wa jalla sebagai yang perlu disembah, dipatuhi dan ditakuti. Pengajarannya kepada kita ialah supaya seluruh kehidupan, setiap perjuangan dan segenap pekerjaan yang dilakukan mestilah atas dasar penyerahan diri kepada Allah Azza wa jalla.
Pengabdian diri kepada Allah mestilah diterjemahkan melalui pelaksanaan syariat Allah yang terkandung dalam al-Qur'an dan as-Sunnah. Perlu kita insafi bahawa timbulnya pelbagai isu dan permasalahan dalam masyarakat seperti peningkatan jenayah rompakan, rogol, bunuh, penagihan dadah, penghidap AIDS, kes-kes rasuah, pecah amanah dan sebagainya; adalah kerana belum menyeluruhnya penghayatan kita kepada tuntutan-tuntutan syarak. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 85:
Maksudnya: "Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?. Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu selain dari kehinaan ketika hidup di dunia; dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat, dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan."
Iduladha dengan pensyariatan ibadah korban adalah isyarat yang jelas daripada Allah mengenai keperluan berkorban tenaga, masa dan harta benda demi agama Allah SWT. Tanpa pengorbanan agama, fikiran dan harta benda, tidak mungkin syariat Allah SWT dapat ditegakkan. Renungkanlah sejarah pengorbanan agong Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih Nabi Ismail AS, satu-satunya anak kesayangan baginda semata-mata pengorbanan kepada Allah SWT. Inilah satu contoh seorang bapa yang berjaya membina sebuah keluarga yang cemerlang. Demikian juga, kepatuhan Hajar kepada suaminya Nabi Ibrahim untuk tinggal keseorangan di tanah gersang Mekah, merupakan model isteri mithali yang sanggup mengorbankan jiwa raga semata-mata kepatuhan kepada perintah Allah dan Nabi-Nya.
Demikian juga kerelaan seorang anak iaitu Nabi Ismail AS untuk disembelih oleh bapanya, semata-mata kerana perintah Allah adalah merupakan isyarat bahawa berkorban sebenarnya tidak melihat kepada usia. Ini bermakna samada golongan tua, dewasa, belia, lelaki dan wanita, perlu bersedia untuk berkorban apa sahaja demi tertegaknya akidah tauhid dan terlaksananya syariat Allah SWT. Inilah intipati pengajaran daripada pengorbanan agong yang diterokai oleh Nabi Ibrahim, isteri dan anaknya alahimussolatuwassalam.
Firman Allah SWT dalam surah As-Saafaat ayat 103-107:
Maksudnya: "Setelah keduanya berserah diri, dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi itu. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya nama yang harum dalam kalangan orang yang datang kemudian."
Kita semua perlu sedar bahawa kedudukan umat Islam akhir-akhir ini semakin dicabar oleh pihak yang longgar akidah dan pihak yang tiada kaitan dengan Islam. Apa maknanya kita beragama Islam, tetapi bersifat was-was dengan hukum Islam. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan pelbagai fatwa dalam usaha menyelesaikan masalah umat. Fatwa yang dikeluarkan bukan mengikut hawa nafsu atau kepentingan diri, tetapi ia dikeluarkan atas permintaan umat Islam sendiri bagi memperjelaskan kekeliruan yang timbul. Justeru keputusan yang dibuat adalah hasil kajian teliti pakar-pakar agama dengan merujuk kitab-kitab muktabar. Namun demikian, sejauh mana pematuhan sesuatu fatwa yang dikeluarkan itu adalah bertunjangkan kepada pengorbanan umat Islam mematuhi perintah Allah SWT.

Bagaimanapun, malang sekali apabila terdapat orang Islam bersekongkol dengan orang bukan Islam mempertikaikan Islam dan fatwa yang dikeluarkan. Apa yang nyata akhir-akhir ini orang bukan Islam semakin berani mempertikaikan Islam. Keadaan ini berpunca daripada kelemahan orang Islam sendiri. Mimbar ingin mengingatkan umat Islam jangan membiarkan pihak yang tiada kaitan dengan Islam bertindak sesuka hati mempertikai Islam dan hukumnya. Marilah kita bergandingan dan terus mempertahankan kesucian Islam ini sesuai dengan semangat cinta kepada Allah SWT berdasarkan peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim A.S, Nabi Ismail A.S dan Hajar. Insaflah bahawa, ibadah haji dan ibadat korban mengingatkan kita agar jangan lupa bahawa kita berada dalam satu kesatuan kemanusiaan dan jangan pula kita hancur dikorbankan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan