“YANG DIPERTUAN AGONG PENEGAK HAK ASASI RAKYAT JELATA”
Rakyat jelata di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, dan sebagainya yang berpegang teguh kepada agama dianuti. Berdasarkan perbezaan latarbelakang pelbagai rakyat jelata ini, maka tidak dapat dinafikan ada kalanya berlaku pertikaian politik, agama, perbalahan kaum, dan sebagainya yang membimbangkan kita semua.
Bagaimanapun kita amat bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana dengan kebijaksanaan dan keadilan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan dan Raja-raja, maka dari masa ke masa beberapa isu dapat diselesaikan dengan aman.
Berdasarkan pemerhatian saya , rakyat jelata amat menyedari bahawa Yang Dipertuan Agong, Sultan dan Raja-raja bukanlah pelindung untuk orang Melayu semata-mata tetapi juga penegak hak asasi rakyat seluruhnya. Dengan kata lain Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja adalah institusi yang mempertahankan hak mereka. Ini adalah selari dengan Peruntukan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan. Penegakkan hak asasi rakyat jelata ini sebenarnya berkait rapat dengan pemerintahan yang adil.
Ajaran Islam menetapkan bahawa keadilan adalah unsur penting dalam pengukuhan integriti pemerintahan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah an-Nisa’ ayat 58:
Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah s.w.t. sentiasa mendengar; lagi sentiasa melihat.”
Hakikatnya, Islam telah meletakkan kedudukan pemimpin di tempat yang amat tinggi, sesuai dengan amanah dan tanggungjawab yang dipikul. Kedudukan pemimpin yang adil telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. dengan balasan baik, mendapat naungan Allah s.w.t. dihari Mahsyar nanti. Ketika mengulas lanjut tentang nikmat pemerintah yang adil ini Imam Bukhari telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud bahawa salah satu golongan yang mendapat perlindungan naungan Allah s.w.t. ketika mana tidak ada perlindungan melainkan perlindungan-Nya iaitu imam yang adil.
Berdasarkan Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Negara yang sentiasa menjadi simbol penegak hak asasi rakyat jelata di mana membolehkan kita semua sentiasa berada dalam kesejahteraan dan aman damai, maka kita selaku rakyat di bawah naungan baginda sewajarnya sentiasa mentaati baginda .
Beberapa perkara yang dapat dirumuskan untuk kita sama-sama renungi iaitu:
1. Kedaulatan Yang Dipertuan Agong tidak boleh dipertikaikan demi memelihara kesucian agama, kerukunan bangsa dan kemakmuran negara.
2. Kedudukan pemerintah yang adil amatlah tinggi di dunia dan di akhirat.
3. Seluruh rakyat hendaklah meletakkan ketaatan kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada setiap masa demi menjamin kestabilan hidup dunia dan kebahagiaan di akhirat.
4. Bibit-bibit penderhakaan terhadap Yang Dipertuan Agong atau pun Sultan perlu dihapuskan dan ditentang habis-habisan.
5. Kerajaan yang adil dirahmati Allah, rakyat yang taat mendapat berkat, negara yang aman kekal selamat.
Selasa, 7 Julai 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan