Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

KOMUNITI GABUNGAN ANAK - ANAK GAYONG

Komuniti Gabungan Anak-Anak Gayong SeMalaysia

MARI DENGAR LAGU


MusicPlaylist

BAKA IPD KUALA MUDA

Selasa, 15 September 2009

10 MALAM TERAKHIR RAMADHAN

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW apabila masuknya sepuluh malam terakhir (Ramadan) baginda menghidupkan malam, baginda mengemaskan kainnya dan baginda mengejutkan isterinya (yakni tidak bersama dengan isteri).

Hadis ini menceritakan kepada kita bagaimana Nabi SAW bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah meskipun baginda tidak melakukan dosa. Namun baginda telah memberikan satu contoh tauladan yang baik kepada umatnya di dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadan.

Panduan yang diberikan oleh baginda ini menggambarkan betapa tinggi nilainya saat yang kita lalui sekarang. Menjadi suatu yang amat malang sekiranya kita semakin lemah dan cuai dalam melakukan ibadah meskipun Ramadan semakin hampir meninggalkan kita.

Imam Muslim juga meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a berkata: Bahawa Nabi SAW bersungguh-sungguh (beribadat) pada 10 malam terakhir tidak seperti mana (di bulan) selainnya.

Contoh yang ditinggalkan kepada kita oleh baginda SAW wajar dijadikan pedoman di dalam mengisi hari-hari terakhir Ramadan ini. Sepatutnya waktu ini tidak dihabiskan dengan menonton televisyen atau mengunjungi pusat-pusat membeli belah. Kerana inilah fenomena yang sering kita lihat.

Apa yang berlaku, kelebihan 10 malam terakhir ramadhan seolah-olah tidak langsung di ambil kira. Apa yang menyedihkan setelah ditinjau dimasjid atau surau, kebanyakkannya sudah tidak semeriah sepertimana diawal ramadhan dahulu.

Malam tadi masjid yang ana ikuti solat terawih sudah tidak sampai 1 saf makmumnya, kalau diawal ramadhan dahulu masjid penuh sesak tetapi sekarang agak sepi. Malah lebih mendukacitakan ada dikalangan masyarakat kita terutamanya muda-mudi yang beragama Islam keluar malam ke ibu kota dan ke taman-taman untuk berdua-duaan dan bermadu kasih tanpa rasa bersalah dan malu. Apatah lagi untuk menghormati bulan yang mulia ini….

Sepatutnya ibu bapa hendaklah mengambil berat soal membudayakan suasana ibadah terutamanya 10 malam terakhir ramadhan ini. Anak-anak memerlukan didikan dan panduan dari ibu bapa.

Sebaliknya jika ibu bapa pun turut serta mengabaikan ibadah sepanjang 10 terakhir ramadhan ini, maka tidak hairanlah anak-anak juga tidak berminat untuk mengerjakan solat terawih, malah mereka datang ke masjid atau surau bukan untuk solat, tetapi membuat bising dan bermain mercun. Ini boleh menganggu para jamaah untuk menunaikan solat terawih.

Justeru itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan lagi amal ibadah menjelang penghujung ramadhan ini kerana di dalamnya ada satu malam yang sangat istimewa iaitu malam lailatul qadar dan ianya menjadi rebutan para hamba-hamba Allah yang beriman dan bertaqwa.

Firman Allah SWT: Maksudnya:

” Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan, Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan “. (al-Qadr: 1-3)

Malam al-Qadr sengaja dirahsiakan oleh Allah Taala sebagai satu ujian kepada umat Islam di dalam mencari rahmat dan kasih-Nya. Bagi mereka yang benar-benar beriman keghairahan mencari reda Allah menjadikan mereka begitu teruja meningkatkan pencarian ganjaran berlipatganda yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Sebaliknya bagi mereka yang alpa dan lupa, saat-saat ini seringkali dipenuhi dengan aktiviti persiapan hari raya yang menyibukkan mereka hingga terlupa untuk beribadah dan promosi istimewa pelepasan azab neraka yang dijanjikan oleh Allah di penghujung Ramadan.

Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ialah :

* Menghidupkan malam dengan solat malam seperti tahajud, hajat, taubat dan juga berzikir kepada Allah.

* Digalakkan juga supaya mengejutkan ahli keluarga supaya bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah.

* Ibu bapa wajar mengajak anak-anak yang sudah dewasa khususnya bersama berqiamullail dan jangan biarkan mereka lena.

* Bagi suami isteri pula 10 malam terakhir tidak digalakkan untuk bersama kerana Nabi SAW diberitakan bahawa baginda mengemaskan ikat kainnya yakni tidak bersama dengan isteri kerana disibukkan dengan amal ibadah.

* Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadan ini iaitu dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadat kepada Allah. Kata Imam Az-Zuhri: Maksudnya: “Suatu yang pelik bagi kaum muslimin mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Nabi SAW tidak pernah meninggalkannya semenjak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga ia meninggal dunia”.

Dengan demikian, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri, dan mempertingkatkan amal ibadah mudah-mudahan kita dipermudahkan oleh Allah SWT untuk melakukan amalan-amalan khususnya 10 malam terakhir ramadhan ini agar kita menjadi hamba Allah SWT yang bertuah di dunia dan di akhirat.

Sabtu, 5 September 2009

NUZUL QURAN


Sememangnya sudah menjadi tradisi bagi kita umat Islam, pada setiap tanggal 17 Ramadhan kita akan mengadakan peringatan Nuzul Al-Quran.
Bahkan hampir di seluruh negeri-negeri Islam, pemerintahan setempat secara rutin melaksanakan peringatan tersebut setiap tahun, yang sering-kali digabungkan dengan peristiwa Perang Badar Al-Kubra (terjadi pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah, ketika umat Islam pertama kali melaksanakan shaum Ramadhan).


BILA DAN BAGAIMANA AL-QURAN DITURUNKAN


Terdapat dua pendapat mengikut ahli sejarah, termasuk pendapat para ahli hadis, tentang Al-Quran yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw.

Pendapat pertama menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum hijrah (6 Ogos 610 M). Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal, manakala pendapat kedua dasarnya adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan.

Walaupun tradisi Nuzul Al-Quran telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat kedua adalah lebih kuat dan lebih mungkin benarnya. Ini adalah kerana malam Lailatul Qadar yang dipercayai sebagai malam turunnya Al-Quran bukanlah terjadi pada tanggal 17 Ramadhan.

Adapun dalam firman Allah SWT pada ayat 41 surah Al-Anfaal, yaitu: "…jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)…" (TTQ 8 : 41) Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.

Tetapi sebenarnya ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut). " Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…" (TTQ 8 : 41).

Dan apabila diteliti dengan lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul-Qadar dan kelahiran Rasullullah pada hari Isnin serta pada catatan-catatan waktu di dalam takwim, maka akan diperolehi kesimpulan yang lebih tepat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 21 bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasullulah saw berhijrah ke Madinah.
Menurut para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam "Lailatul Qadar" sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus di "Baitul Izzah" di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.

Adapun ayat-ayat yang pertama diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw adalah ayat 1-5 surah Al-'Alaq.

Dan peristiwa ini terjadi ketika nabi saw sedang bertahannus (menyendiri) di Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.



Al Quran diturunkan secara beransur - ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Hikmah Al Quran diturunkan secara beransur - ansur adalah:

*
Agar lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya suruhan dan larangan itu diturunkan sekaligus dalam kadar yang banyak. Hal ini disebut oleh Bukhari dari riwayat 'Aisyah r.a.

*
Di antara ayat - ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kamaslahatan. Ini tidak dapat dilakukan sekiranya Al Quran diturunkan sekaligus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh)

*
Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa - peristiwa yang terjadi akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh di hati.

*
Memudahkan penghafalan. Orang - orang musyrik yang telah menanyakan mengapa Al Quran tidak diturunkan sekaligus, sebagaimana disebut dalam Al Quran surah (25) Al Furqaan ayat (32) iaitu: "……mengapakah Al Quran tidak diturunkan kepadanya sekaligus….?" Kemudian dijawab di dalam ayat itu sendiri: "….Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu..".

*
Di antara ayat - ayat yang merupakan jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan, sebagai dikatakan oleh Ibnu 'Abbas r.a. Hal ini tidak dapat terlaksana kalau Al Quran diturunkan sekaligus.



Berdasarkan kepada tempoh waktu turunnya Al-Quran, ayat-ayat Al-Quran dibahagikan kepada 2 jenis:

*
Ayat-ayat Makkiyah : Ayat-ayat yang diturunkan di Mekah atau sebelum Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah
* Ayat-ayat Madaniyyah : Ayat-ayat yang diturunkan di Madinah atau sesudah Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah.

Perbezaan ayat - ayat Makaniyyah dengan ayat - ayat Madaniyyah ialah:

* Ayat - ayat Makaniyyah pada umumnya pendek-pendek sedangkan ayat-ayat Madaniyyah panjang - panjang, surah Madaniyyah yang merupakan 11/30 dari isi Al Quran ayat-ayatnya berjumlah 1456, sedangkan surah Makaniyyah yang merupakan 19/30 dari isi Al Quran jumlah ayat - ayatnya ialah 4780 ayat. Juz 28 keseluruhannya merupakan ayat Madaniyyah kecuali surah (60) Mumtahinah, ayat - ayatnya berjumlah 137, manakala juz 29 ialah ayat Makaniyyah kecuali surah (76) Ad-Dahr ayat - ayatnya berjumlah 431. Surah Al-Anfaal dan surah Al-Syu'araa masing - masing merupakan setengah juz tetapi yang pertama ayat Madaniyyah dengan bilangan ayat sebanyak 75, sedangkan yang kedua ayat Makaniyyah dengan ayatnya berjumlah 227.

* Dalam surah - surah Madaniyyah terdapat perkataan "ya ayyuhalladzina aamanu" dan hanya sedikit sekali terdapat perkataan "yaa ayyuhannaas", sedangkan dalam surah Makiyyah pula adalah sebaliknya.

* Ayat - ayat Makaniyyah pada umumnya mengandungi hal - hal yang berhubung dengan keimanan, ancaman dan pahala, kisah - kisah umat yang terdahulu yang mengandungi pengajaran dan budi pekerti, manakala ayat - ayat Madaniyyah pula mengandungi hukum - hukum, baik yang berhubungan dengan hukum adat atau hukum - hukum duniawi, seperti hukum kemasyarakatan, hukum ketatanegaraan, hukum perang, hukum internasional, hukum antara agama dan lain-lain.



Allah memberi nama kitab-Nya iaitu Al Quran yang bererti "bacaan". Erti ini dapat kita lihat dalam surah (75) Al Qiyaamah, ayat 17 dan 18. Nama ini dikuatkan oleh ayat - ayat yang terdapat dalam surah (17) Al -Israa' ayat (88), surah (2) Al-Baqarah ayat (85), surah (15) Al-Hijr ayat (87), surah (20) Thaaha ayat (2), surah (27) An Naml ayat (6), surah (46) Ahqaaf ayat (29), surah (56) Al-Waaqi'ah ayat (77), surah (59) Al-Hasyr ayat (21) dan surah (76) Addahr ayat (23).
Menurut pengertian ayat-ayat di atas, Al-Quran itu dipakai sebagai nama bagi Kalam Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Selain Al Quran, Allah juga memberi beberapa nama lain bagi kitab-Nya, seperti:

*
Al Kitaab atau Kitaabullah merupakan sinonim dari perkataan Al Quran, sebagaimana tersebut dalam surah (2) Al Baqarah ayat (2) yang ertinya berbunyi: "Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya….". Lihat pula surah (6)Al An'aam ayat (114).

*
Al Furqaan ertinya "Pembeza" iaitu yang membezakan di antara yang benar dengan yang batil, sebagaimana terdapat dalam surah (25) Al Furqaan ayat (1) yang ertinya: "Maha Agung (Allah) yang telah menurunkan Al Furqaan kepada hamba-Nya, agar ia menjadi peringatan kepada seluruh alam".

*
Adz-Dzikir ertinya "Peringatan", sebagaimana yang tersebut dalam surah (15) Al Hijr ayat (9) yang ertinya "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan"Adz-Dzikir" dan sesungguhnya Kamilah penjaganya". Lihat pula surah (16) An Nahl ayat (44).

*
Selain dari nama - nama di atas, terdapat beberapa lagi nama bagi Al Quran. Imam As Suyuthy dalam kitabnya Al Itqan menyebutkan nama - nama Al Quran, di antaranya adalah Al Mubin, Al Kariim, Al Kalam dan An Nuur.

Al-Quran diturunkan untuk diamalkan, bukan diturunkan untuk menghias dinding-dinding rumah, bukan diturunkan untuk dibaca kepada orang-orang mati tetapi diturunkan untuk menjadi panduan bagi orang yang hidup. Al-Quran diturunkan untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada nur Ilahi. Manusia berkata : “ kami hendak mengambil berkat dari al-Quran.” Apakah itu berkat ? Sedangkan kita tidak pernah mengikuti perintah al-Quran. Berkat itu terletak pada orang-orang yang mengikuti kitab hidayah ini. Firman Allah yang bermaksud : “ Ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan barakah supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.” (Sad 29) Malangnya, kita tidak beramal dengan al-Quran sepenuhnya. Umat surah al-Syura tetapi tidak beramal dengannya, umat surah al-Hadid (besi) tetapi tidak menguasai teknologi bidang tersebut, umat surah al-Alaq yang dimulakan dengan Iqra’ tetapi tidak membaca malahan masih ramai lagi yang jahil tentang agama Islam. Di manakah kedudukan umat Islam sekarang dengan al-Quran? Oleh itu, perlulah kita bermuhasabah interaksi kita dengan al-Quran dengan menghayati falsafah penurunannya, konsep dan metode penafsiran terkini sebagai panduan dalam kehidupan manusia.